Jauh di sudut hati...

Sesungguhnya kehidupan ini telah disusun oleh Allah SWT teramat indah..justeru segala sesuatu yang mendatangi kita dalam pahit dan manis adalah ujian yang akan mendekatkan kita kepada maha pencipta...Semoga kita berpanjangan dalam iman kepada Allah SWT. Amin

Tuesday, June 9, 2009

Alahai Bahasa Melayu

Kisah 1:
Angkatkan martabat Bahasa Melayu
Muhammad Bukhori Alias Dec 7,

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara 152. Usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia. Keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menukar istilah-istilah asing yang digunakan pada nama jalan dan tempat di Putrajaya harus diberikan pujian serta wajib untuk dilaksanakan. Sebagai sebuah negara berdaulat dan mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tentu hairan apabila istilah-istilah asing seperti “Presint, Boulevard dan Parcel” digunakan secara meluas di Putrajaya. Apakah dengan menggunakan istilah-istilah sedemikian maka ia akan membantu perkembangan serta kemajuan pemerintahan negara? Sudah tentu tidak, malah ia menyumbang kepada dua kesan iaitu kekeliruan minda dan kerendahan jiwa. Ia menyumbang kepada kekeliruan minda melalui persoalan apakah tidak ada langsung istilah-istilah ataupun nama-nama di dalam bahasa kebangsaan yang boleh digunakan untuk dijadikan nama jalan dan tempat di negara kita. Ia menyumbang kepada kerendahan jiwa apabila kita secara terbuka menyokong dan berbangga terhadap penggunaan istilah-istilah asing lebih daripada istilah dalam bahasa kebangsaan sendiri. Hal sedemikian bukan sahaja berlaku di Putrajaya malah turut berlaku di segenap pelusuk negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menyatakan keperihatinan terhadap perkara ini. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai wadah generasi muda menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat swasta yang diberikan mandat di dalam menyelenggarakan sesebuah penempatan supaya peka dan lebih bertanggungjawab mendaulatkan bahasa kebangsaan di dalam memberi nama jalan dan tempat di dalam kawasan seliaan mereka. Usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk menggunakan nama-nama pemimpin nasional, bunga dan peristiwa perjuangan negara merupakan satu langkah bijak yang harus dilaksanakan dan dicontohi bagi mendidik serta menanam jati diri bangsa. Kurangnya keperihatinan serta kesedaran sivik kebanyakan anak muda sekarang terhadap pelbagai isu-isu yang berlaku termasuk isu kedaulatan bahasa kebangsaan adalah suatu yang membimbangkan. Sikap acuh tidak acuh dan malu untuk bertutur di dalam bahasa kebangsaan semakin ketara kepada generasi muda pada hari ini. Hal yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Wong Kam Hoong mengenai kemerosotan bahasa Melayu dari segi penguasaan dan penggunaanya perlu dinilai dan diberikan perhatian serius. PKPIM yakin dan percaya untuk terus mengekalkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, adalah tidak cukup sekadar diajurkan program-program bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di peringkat kementerian dan jabatan sahaja malah ia perlu mengakar ke segenap lapisan masyarakat terutamanya di institusi-institusi pendidikan. Kempen dan gerakan massa untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan perlu dijalankan dan wajar mendapat perhatian semua pihak. Jikalau budaya berbudi bahasa dijadikan kempen, maka sudah tentu kempen mendaulatkan bahasa Melayu juga harus dijalankan kerana salah satu budaya orang Malaysia adalah bertutur serta berbangga dengan bahasa kebangsaan. Kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka serta gabungan badan bukan kerajaan harus dijalankan bagi melihat bahasa kebangsaan terus didaulatkan dan tidak ditelan arus pemodenan. Mungkin ramai generasi muda hari ini tidak mengetahui bahasa Melayu merupakan bahasa kelima terbesar di dunia dan menjadi antara bahasa berpengaruh yang berperanan di dalam penyebaran agama Islam, selain bahasa Arab, Parsi, dan Urdu. Adalah menjadi harapan kita semua di dalam kita menuju wawasan negara maju pada tahun 2020, kedaulatan bahasa kebangsaan terus utuh terpelihara.
Penulis adalah setiausaha agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Kisah 2:

Lokasi Zoo Melaka 2/6/2009

Anak Si Melayu: Mama harimau!
Ibu Si Melayu : Itu tiger..
Anak Si Melayu : Mama..tu monyet..
Ibu Si Melayu : Monkey..(kelihatan kurang senang apabila anaknya menjeritkan nama haiwan dalam Melayu).

Tiada salahnya mengajar anak mempelajari bahasa kedua cuma aku kesal kerana ibu itu berasa malu kerana anaknya menggunakan bahasa melayu. Adakah itu hanya sikap peribadi atau pandangan komuniti ? Orang melayu harus berbangga dengan bahasa dan bangsanya barulah orang lain dapat meresapi aura ketinggian bahasa melayu itu. Jangan sampai mat bangla dan mat afrika lebih baik keupayaan berbahasa melayu berbanding kita ! Aku pun berminat dengan bahasa inggeris tapi dalam masa yang sama aku amat memandang tinggi bahasa ibundaku. Tertarik dengan kenyataan "Gibran Agi" dalam satu rancangan tv. (Beliau amat fasih berbahasa inggeris tetapi dalam masa yang sama amat cintakan bahasa ibunda) Antara pandangannya, istilah "Bahasa Melayu" lebih wajar berbanding "Bahasa Malaysia" kerana Bahasa Inggeris walaupun dituturkan di Kanada atau di Australia tetap sebagai bahasa inggeris bukan bahasa kanada atau Australia.
Kita kadang-kadang terlalu pragmatis ... dengan sesuatu dasar sehingga mengabaikan kemampuan bahasa sendiri. Lihatlah nasib tulisan jawi... hilang ditelan pembangunan... itukah yang kita mahu ?

2 comments:

  1. bukan ke org yang melaksanakan ppsmi dan menciptakan nama2 glamour di putrajaya tu adalah orang yang sama....orang tua tak sedar diri!Berkenaan bahasa melayu kita,sgt menghairankan kerana banyak perkataannya yang sering diubah saban tahun,sejak zaman kita sekolah dulu...kenapa jadi begitu?Paling menghairankan kenapa bahasa melayu yang diguna pakai oleh malaysia,tidak diiktiraf dunia berbanding bahasa melayu indonesia sedangkan bahasa melayu kita lebih bagus dari mereka.Banyak kesilapan yang telah dibuat oleh pemerintah tapi tidak pernah mahu belajar dari kesilapan itu.....

    ReplyDelete
  2. Pandangan seperti anda inilah yang akan mengekalkan penutur dan standard bahasa melayu.Hidup BM. Ahad ini SN A.Samad Said akan berkunjung ke Raub dan akan bercakap atas isu yang relevan dengan nasib BM. Mai le...join

    ReplyDelete

Apa kata anda....